Tuesday, April 15, 2008

Menjadi Suami Dan Isteri Super

MENJADI SUAMI DAN ISTERI SUPER

TEKNIK BERTENGKAR SECARA POSITIF KEPADA SUAMI

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga." (Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan 'orang yang beralah akan menang besar kemudiannya? '

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P. Ramlee 'Sedang lidah lagi tergigit'. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata 'ok' kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s. a. w:

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."

(Riwayat Ibnu Mas'ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap -

Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan -

Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya -

Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan -

Anda dibesarkan dalam keluarga 'begini', isteri anda dibesarkan dalam keluarga 'begitu'. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah -

Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara -

Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja -

Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan 'sayang' atau 'manja' tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah 'aku' dan 'kau'.

8. Elakkan terlalu emosional -

Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik -

Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur -

Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri -

Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak -

Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar -

Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party -

Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah -

Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai -

Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan -

Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan -

Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam buku Manual Kerja Super Suami.

Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www. books. perintis. com. my

------------------------

Tip berkesan yang dapat membantu anda menjadi ISTERI SUPER!

Pengenalan

Tidak dinafikan dalam mendepani zaman ini, para isteri akan bertemu dengan bermacam-macam bentuk halangan. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan mempunyai anak yang banyak. Di mana-mana sahaja akan kita temui keluhan demi keluh-an sehingga menjadikan anak-anak dara merasakan bahawa terus menjadi dara adalah yang terbaik.

Sekiranya, kita menoleh dan merenung sejarah nenek moyang kita dahulu, sepatutnya mereka lebih-lebih lagi mempunyai alasan untuk mengeluh, namun kita dapat saksikan orang-orang lama ini akan bertahan lama dengan pasangan masing-masing. Mereka tidak mempunyai mesin untuk membasuh pakaian. Mereka perlu mencari kayu api untuk memasak. Ah, banyak lagi alasan yang boleh digunakan untuk menunjukkan ibu-ibu kita pada zaman dahulu mempunyai sejumlah kerja yang berkali ganda untuk dibandingkan dengan tugasan kita ini!

Justeru, apakah formula terbaik yang boleh diguna pakai dalam memastikan hala tuju hidup kita di dunia ini berjalan dengan baik dan juga membina kehidupan yang selesa di akhirat? Mungkin ada baiknya jika kita menilik semula tabiat baik yang telah diamalkan oleh ibu-ibu kita dan diaplikasikan mengikut kesesuaian pada masa sekarang.

Sekiranya, ibu-ibu kita berjaya dalam kepayahan maka kita perlu lebih berjaya dengan kemudahan yang kita ada. Buku ini akan menyingkap petua berkesan dan sekatan yang perlu dielakkan dalam menjadi 'Isteri High Class'.

Antara tip-tip yang berkesan:

1. Kurangkan leteran

Ya, inilah kegemaran golongan para isteri kini. Dengan tekanan yang sangat mendesak di pejabat, ditambah pula keadaan yang sangat mendera di rumah, kita telah menggunakan kaedah berleter bagi melepaskan tekanan. Sebenarnya, leteran bukanlah menghilangkan tekanan.

Seorang isteri yang berleter sebenarnya sedang memindahkan tekanannya kepada seisi keluarga. Sekiranya ini berlaku, hal ini bermakna seisi keluarga sedang berada dalam keadaan tertekan. Sekiranya tekanan dipendam, maka ada kemungkinan satu hari kita akan terdengar ledakan bomnya.

Jadi, bukankah baik sekiranya tekanan itu dilepaskan dengan teknik yang lain. Apa kata jika anda menggunakan kaedah berlemah lembut, iaitu dengan berlucu, namun menyengat sanubari sasaran kita.

Di sini disertakan beberapa contoh situasi agar pada masa hadapan, anda boleh berfikir secara kreatif cara menggunakan kata-kata lucu untuk menegur.

i. Suami meletakkan pakaian dan stokinnya di merata-rata tempat setelah menanggalkannya; "Apa kata kalau sayang tak nak basuh baju abang kalau abang tak letak baik-baik baju abang di tempatnya. Aci tak?"

ii. Hari minggu, suami tidur semula sesudah solat subuh sedang-kan rumah penuh dengan aktiviti yang wajib dilakukan; "Apa kata kalau abah bangun, mandikan anak dan suapkan anak-anak. Tadi umi dah masak. Nanti malam karang, umi mandikan abah selepas umi suap abah. Boleh?"

iii. Suami enggan membersihkan anak yang telah membuang air besar di dalam lampin pakai buang. Mungkin dia geli; "Takpe kalau papa tak mau basuh tapi cuba papa fikir, kalau mama pergi dulu, papa pula sakit. Tak boleh bangun sendiri. Sapa ya yang nak basuhkan berak papa?"

iv. Anak anda malas membaca buku tetapi gemar menonton televisyen; "Mana ya adik letakkan buku sekolah adik tadi? Cikgu adik pesan suruh mak bagi kat televisyen tu suruh dia buat kerja sekolah adik. Satu lagi, adik tak boleh keluar rumah petang ni untuk main di padang sebab adik dah langgar larangan mak jangan tengok TV selagi kerja sekolah adik tak selesai. Maklumlah, TV kan tak pandai buat kerja sekolah!"

Selain teknik di atas, anda juga perlu masa yang sesuai untuk bersendirian dengan orang yang anda ingin leteri. Masa ini, berbicaralah dari hati ke hati supaya dia memahami perkara yang anda katakan adalah untuk kebaikan dirinya juga. Insya-Allah mereka akan faham jika anda menyampaikan rasa hati anda dengan tepat.

Sekiranya mereka telah membantu anda, janganlah mengharapkan sesuatu yang maksimum daripada mereka. Hal ini juga menyebabkan mereka bosan untuk membantu lagi kerana buat salah, tinggalkan pun salah. Jadi, mereka memilih untuk meninggalkan sahaja tugasan itu. Bukankah ini lebih merugikan. Sekiranya kerja mereka tidak serapi mana sekalipun, ucapkanlah terima kasih dan hal ini akan membangkitkan rasa suka mereka untuk membantu anda pada masa lain.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 7: Menghadapi Cabaran dalam buku Manual Kerja Super Isteri.

Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www. books. perintis. com. my.

No comments: